Rimba

Pagi nan indah. Mentari di ufuk timur samar-samar menunjukkan dirinya. Sinarnya berbalam-balam, mencuri-curi pandang di sebalik celahan rimbunan dedaunan kayu. Kicauan burung saling bersahutan, unggas ungka dan segala makhluk alam rimba gegak gempita saling bertingkah dengan bahasa alam yang tersendiri. Di rimba ini, berhimpunnya misteri buana yang tidak mampu diterjemah pada pemikiran manusia biasa. Kesinambungan kehidupan alam rimba ini bergantung kepada kesejahteraannya yang selama ini terpelihara daripada tangan kejam manusia.

Pepohon Jelutong mencakar awan. Dahan-dahannya kukuh menjadi tempat singgahan rakyat Sang Madu yang terkenal dengan kerajinan, menyunting Si Bunga Hutan yang ranum dan membentuk kerajaan Lebah yang utuh di rimba ini. Jauh di bawahnya terdapat rendangan Kekabu, Pisang Hutan dan pohonan rendang lain yang berakar banir dan tunjang bernaung di lembayungnya. Turut sama melindungi tumbuhan renek yang lain seperti cendawan kulat, bunga-bungaan dan rumput lumut sekalian.

Kelihatan sepasang rama-rama jantan betina terbang bebas ke sana ke sini dengan riang. Tiada sebarang kegusaran dihati mereka untuk singgah pada bunga-bungaan yang bagai menanti-nanti kehadiran si rama-rama tersebut.

...................................................................................................

“ Oh, gembiranya kanda, wahai dinda! Masih terdapat madu-madu yang pada kelopak bungaan ini, dinda.” Ujar Rerama Jantan. “ Benar, kanda. Nampaknya saudara-saudara kita, Sang Madu tidak pernah melupakan keperluan kita di sebalik mereka menunaikan tanggungjawab mereka menyunting bungaan di dini hari subuh lagi.” Balas Rerama Betina sambil menghirup madu pada bunga-bunga hutan tersebut.

“ Sungguh berbudi mereka ini. Dan tidak perlu disanggah lagi bahawa mereka makhluk Allah yang terkenal dengan kerajinan bekerja. Sehingga termaktub dalam Kitabullah mengenai mereka ini, dinda.” Jelas Rerama Jantan kepada pasangannya. “ Oleh itu, haruslah kita bersyukur kerana memiliki saudara yang sedemikian, wahai kanda!.” Rerama Betina terus terbang ke sana ke sini ditemani Rerama Jantan.

Pepohon Jelutung tersenyum-senyum mendengar bualan pasangan yang bersayap cantik itu. Pepohon Jelutong ikut terbuai-buai ke kiri dan kanan perlahan-lahan kerana bayu pagi bertiup nyaman dan perlahan pagi tersebut. Ketinggian pepohonan Jelutong menyebabkan merekalah yang pertama mendapat sinaran mentari terlebih dahulu berbanding pepononan rimba yang lain. Oleh sebab itulah, Pepohon Jelutong kelihatan begitu gah memayungi flora dan fauna di rimba.

Tiba-tiba, terdengar riuh rendah suatu suara yang bersahutan. Pepohon Jelutong diam seketika kerana bukan setakat bunyian bising ini mengejutkan mereka malahan badan mereka turut bergoyang dengan kuat. Rerama Jantan dan Betina turut sama tergesa-gesa mencari perlindungan di sebalik batang Pepohon Jelutong.

............................................................................................................

“ Uk, uk, akk. Uk, uk, akk!!”. Siapakah mereka ini? Desis hati Pepohon Jelutong. “ Uk, akk. Berjaya juga kita sampai ke tempat ini, wahai anak-anakku, Ungka sekalian. Uk, uk, akk ! ”. Berkata ketua Unggka. Rupa-rupanya, mereka adalah kawanan unggka di rimba sebelah. “ Ya, Pak Ketua. Nampaknya terpaksalah kita menetap di sini kerana tempat tinggal kita di rimba sana telah musnah. Uk, uk, akk ! ” Balas anak-anak buah Ungka dengan kesayuan.

Sambil memandang ke arah rimba yang telah di tinggalkan, Ketua Unggka berujar, “ Manusia itu tidak berguna! Uk, uk, akk.! Habis di tarah bukit, ditebang-tebang pokok-pokok tempat kita bernaung, di lumat-lumat tanah tempat bermain kita!.” Keluh Ketua Ungka sambil disabarkan oleh anak-anak buah Unggka. “ Tidak mengapalah, kalian semua berehat-rehatlah di sini. Kita berharap mereka itu tidak sampai ke mari, uk, uk, akk !

Kawanan Ungka bergerak ke dahanan Pepohon Jelutong, bergayut-gayutan tidak jauh daripada sarang lebah, Kerajaan Sang Madu namun tidak diusik-usik mereka sarangan lebah tersebut. Gegak gempita terus berlagu menandakan terdapatnya penghuni baru tiba di dalam rimba ini.

............................................................................................................

Tidak jauh dari tempat itu, terdapat sekumpulan Orang Asli berkumpul menantikan sebuah pengadilan tiba. “ Nampaknya sudah melampau Orang-orang Bandar ini, Tok Batin ”. Ujar Pagani yang kelihatan marah. “ Mereka telah melakukan pembalakkan haram, menebang pokok-pokok berharga tanpa mempedulikan sama ada pokok itu sudah matang atau masih muda, tuih!! ” Ludah Pagani ke tanah. Keluh kesah Pagani dan beberapa Orang Asli yang lain di dengari oleh Tok Batin dengan serius.

Sambil memegang tongkat kebesarannya itu, Tok Batin berujar, “ Wahai, penduduk sekalian. Perkara ini terlalu serius. Kita harus perangi mereka. Namun, tidak memadai sekiranya kita bersumpitan, beruncingkan buluh tetapi mereka memiliki senjata besi yang jauh lebih bahaya. ” berhenti seketika untuk menarik nafas. “ Kalau begitu, apa caranya Tok Batin untuk menghalau mereka dari sini? ” bertanya salah seorang daripada mereka.

“ Aku telah ke depoh depan tempoh hari. Bertemu dengan polis hutan, Ranger. Aku sudah beritahu mereka tentang Orang-orang Bandar yang kejam ini kepada mereka. Mereka akan beri bantuan. Kita akan bantu, membawa mereka ke tempat itu.” terang Tok Batin dengan lantang.

“ Kami bersetuju, Tok. Biar mereka yang berunding dengan mereka kerana bahasa mereka sama. Mudah untuk faham. Kalau mereka ingkar, biar Ranger itu guna senjata mereka. Kalau ada yang melawan, kita juga boleh memarang mereka, kita sumpit mereka dari jauh. ” gumam penduduk Orang Asli dengan bersemangat. Tangan mereka tergawang-gawang ke langit menandakan persetujuan diantara mereka.

“ Aku harap, kalian tidak terburu-buru mengambil tindakan sendiri. Bahaya ! Kita akan berunding dengan bantuan pihak berkuasa kerajaan. Moga mereka takut dan beredar dengan segara.” Ujar Tok Batin. “ Hutan ini perlu di jaga. Di sinilah, tumpah darah kita. Ooohh, Semangat Hutan! Bantulah kami, anak-anakmu!” Tok Batin terus memuja-muja semangat hutan sambil di sembah-sembah oleh penduduk Orang Asli sekalian.

............................................................................................................

Pada tengahari yang terik, namun di rimba ini tetap redup dan nyaman kerana dahanan pokok yang sarat dengan dedaun melindungi permukaan daripada sinaran mentari yang perit. Pepohon Jelutong berbisik sesama mereka.

“ Aku gusar dengan peristiwa di rimba sebelah, sahabatku.” kata Jelutong Sulung sambil tangannya bergerak ke sana ke sini ditiup bayu. Kata-katanya itu disambut oleh Jelutong Tengah, “ Benar, katamu Jelutong Sulung. Kami juga bimbang. Jiran-jiran kita di sana disakit sesuka hati oleh manusia durjana.” “ Anak-anak yang masih muda juga di bunuh, diikat pada lori dan dibawa ke kilang-kilang.” kata Jelutong Bongsu sambil memandang ke arah Pepohon Jelutong yang lain.

“ Mereka tidak fikir akar kita inilah yang memacak bumi. Menahan tanah dari tergelongsor di bawa air permukaan dan bawah tanah. Tanpa kita, sudah tentu banjir lumpur akan berlaku, tanah runtuh berleluasa dan pemanasan global terjadi. ” ujar Jelutong Sulung sambil mengeleng-ngeleng kesal kerana tindakan manusia yang menghalalkan pennyahhutanan berlaku di rimba sebelah.

“ Manusia tidak pernah mengambil iktibar di atas kesilapan-kesilapan dulu. Lupakah mereka pada kejadian tanah runtuh di Hightlang Tower dulu? Itulah satu contoh daripada pembangunan yang mereka impikan, ranap menyembah bumi. Hutan-hutan ditarah, dilumat-lumatkan untuk membina bangunan pencakar langit di atasnya. Tidak cukupkah lagi pembangunan yang diinginkan mereka? ” mengeluh kesal Pepohon Jelutong dengan tingkah laku manusia.

“ Rimba juga yang dicari mereka. Tidak sukakah mereka pada kehijauan kita? Kita memberikan mereka udara yang bersih, bukan seperti debu-debu habuk dari kenderaan mereka itu. Pelik betul manusia ni ! ” Jelutong Tengah sedih mengenangkan diri tidak dihargai.

............................................................................................................................................

“ Bummmm!!!”

Sebatang demi sebatang pokok balak di potong. Kiranya mereka itu tidak kisah sama ada batang-batang tersebut masih terlalu mentah atau matang untuk dijadikan kayu balak . Habis punah-ranah tanah bukit. Terbongkah sana-sini menimbulkan akar-akar pokok dari bumi akibat di hempap pokok-pokok besar. Bising. Bunyi enjin jentolak dan mesin gergaji, meraung-raung memotong serta membelah-belah batang balak seterusnya menolak ke lori hantu yang sedang menanti.

“ Celaka betul. Aku tidak dapat menahan sabar lagi. Tok Batin!”, laung Pagani sekuat hati. “ Aku tidak mahu menunggu lagi, Tok Batin. Aku mahu mengajar dasar manusia kota durjana itu!”, luahnya kemarahan. Tok Batin menuruni tangga kayu perlahan-lahan. Di belakangnya, menyusul beberapa lelaki berpakaian celoreng kehijauan lengkap dengan senjata laras panjang.

“ Ya, sebentar lagi kita akan menggempur mereka, Pagani. Mereka ini Ranjer Hutan yang akan kita tunjukkan tempat pembalakan haram itu berlaku. Ayuh, kita ke sana. Tuan-tuan!” ujar tenang Tok Batin.

Baiklah. Bilik Gerakan dari PG 1, Bilik Gerakan dari PG1. Mohon hantar pasukan tambahan ke Hutan Hulu Klang kerana terdapat pembalakan haram atas maklumat orang awam, over”.

................................................................................................................................................

Arrghhhh !!!!!

“ Tolong, tolong. Sakitnya. Tidak, tidak. Aku tak nak dibunuh, aku nak hidup. tolonglah”, lolongan tangisan daripada Jelutong Tengah.

Badan Jelutong Tengah digergajikan dengan mesin pemotong kayu berkuasa tinggi. Menjerit-jerit dia kesakitan. Gegak-gempita rimba dengan suara batin pepohon dan unggas-unggas menerima kehadiran sekumpulan besar pembalak haram yang sinis ketawa riang membayangkan keuntungan yang bakal diperoleh.

“ Tengah, Tengah!! Oh, Tuhan. Aku tidak rela Tengah dibunuh. Tolong- tolong. Bantulah Tengah. Sahabat-sahabat sekalian. Rakyat rimba, bantulah kami yang tidak berdaya ini. Selamatkan kami!!!”, tangis pepohon Jelutong sekalian. Tidak tega melihat saudaranya dibunuh.

Rayuan pepohonan Jelutong tersebut di dengari oleh seluruh warga rimba. Sekumpulan Ungka berkumpul sambil bising bermesyuarat diikuti dengan titah yang disampaikan oleh Ratu kerajaan Sang Madu.

“ Wahai rakyat Sang Madu sekalian. Istana kita yang kelima akan musnah dek kerana Jelutong Tengah akan ditumbangkan. Sementelah pepohonan Jelutong telah memohon bantuan daripada rakyat sekalian ini. Dengan ini, beta arahkan semua rakyat Kerajaan Sang Madu keluar, bertempur di medan perang kerana Allah. Selamatkanlah rimba, selamatkanlah pepohonan Jelutong dan selamatkanlah istana kita daripada tangan manusia kejam itu!!!!”, lantang suara Sang Ratu bertitah mengisytiharkan perang.

Maka keluarlah berduyun-duyun para kesatriaan Sang Madu lengkap dengan senjata air bisa sengatan menuju ke arah sekumpulan manusia yang sedang bersukaria dan bertungkus-lumus menjahanamkan pepohonan Jelutong.

“ Kita juga tidak mahu ketinggalan. Ayuh, wahai ungka-ungka sekalian. Berjuanglah untuk menyelamatkan rimba teduhan kita ini. Kita tidak akan berpindah-randah lagi. Cukuplah kita berundur tanpa berjuang. Lekas, kita serang mereka!!!

..................................................................................................................................

Tummmm!!!!!!

Sedas tembakan dilepaskan ke udara. Terkejut sekalian pembalak haram. Terpinga-pinga mereka dan terdapat sekumpulan mereka telah mengeluarkan senjata masing-masing. Ada yang mulai menyelinap masuk ke dalam semak-samun. Bertempiaran lari menyembunyikan diri.

“ Kamu semua telah dikepung. Kamu semua telah dikepung. Letakkan semua peralatan dan serah diri sekarang!!! Jika enggan, kamu semua akan terima akibatnya. Sila ikuti segala arahan untuk kebaikan semua!”, suara Ketua Operasi Nyah Balak berkumandang dicorong pembesar suara atau heller.

“ Ahh, kami enggan. Lepaskan kami atau kamu semua akan mati ditembak. Jangan ingat kami datang kosong!!”, tempikkan daripada salah seorang pembalak haram. Mereka sebenarnya terdiri daripada pendatang haram Indonesia yang sememangnya tergolong dalam kumpulan samseng. Namun, tiba-tiba mereka semua menjerit- jerit.

“ Argghhh, sakitnya. Argghhh!!!!”

Sesetengahnya bertempiaran lari ke arah kawanan pasukan Ranjer Hutan. Sesetengah lagi berguling-guling sambil menahan kesakitann. Hairan sekalian Ranjer Hutan dan kawanan Orang Asli. Gila apakah mereka ini? Persoalan tersebut menjadi bermain-main difikiran masing-masing. Seketika, fahamlah mereka tentang perkara yang berlaku. Sekumpulan lebah hutan telah menyerang kumpulan pembalak haram itu. Apa lagi, melolong-lolonglah mereka menahan bisa sengatan.

Sesetengah lagi sibuk bergelut – gelutan dengan sekumpulan ungka yang garang sehingga terguling-guling ke tanah. Haiwan-haiwan tersebut menggigit-gigit telinga, tangan dan kaki serta ada yang melempar-lempar batu-batu ke arah mereka. Bertempiaran lari para pembalak haram. Ada yang cuba melepasi kepungan tetapi berjaya ditahan Ranjer Hutan . Namun, lebih menghairankan sekalian Ranjer Hutan dan Orang Asli ialah mereka tidak disentuh langsung oleh sengatan lebah dan serangan ungka-ungka tersebut!

“ Menyerah semua. Sekarang!!”

...................................................................................................................................

“ Alhamdulillah, kita semua selamat. Rimba ini berjaya diselamatkan berkat usaha sahabat-sahabat sekalian. Terima kasih. Kematian Tengah telah terbela. Kami reda. Andai panjang umur kita semua, kita akan kembali bertemu semula dengan Tengah walaupun dia pada masa itu adalah Tengah yang baru. Berdoalah agar Tengah tumbuh kembali.”, ujar pepohonan Jelutong kepada warga rimba sambil mengesat-ngesat air mata yang gugur.

“ Jangan bersedih, wahai sahabatku Pepohonan Jelutong. Kami turut bersimpati akan kepemergian Tengah. Kami jua turut kehilangan anak-anak kami yang masih lagi dalam balutan sarang. Tapi, redhalah. Allah akan membalas dan memberikan ganjaran yang besar kepada hambanya yang sabar”, nasihat Sang Ratu.

Para ungka sekalian tunduk memberikan penghormatan kepada kepemergian sahabat-sahabat mereka itu walaupun masih lagi dalam proses perkenalan di alam rimba itu.

..................................................................................................................................

TRAGEDI TANAH RUNTUH BOLEH BERULANG- PAKAR

Kuala Lumpur- Sebarang aktiviti pencerobohan hutan memberikan kesan buruk kepada aliran air terutama di kawasan bukit seterusnya terdedah kepada hakisan tanah.

Pakar geologi, Profesor Madya Mohd Ali Hassan berkata, sekiranya hakisan tanah melibatkan aliran bawah tanah seperti kawasan sensetif di Hulu Klang, ia mungkin menyebabkan berulangnya kejadian tanah runtuh.

Ulasan pakar tersebut berikutan dengan kejayaan penangkapan sekumpulan pembalak haram di Hutan Hulu Klang oleh pasukan Ranjer Hutan dengan bantuan Orang Asli yang bertindak menghalang berlakunya pembalakan haram yang agresif dikawasan tersebut semalam. Kesan kemusnahan alam ini akan memberikan impak yang besar kepada penduduk Hulu Klang khususnya yang tinggal di perumahan sekitar kaki bukit.-Bernama.

.................................................................................................................................

Comments

Popular posts from this blog

Contoh kertas kerja Mohon Pembelian Uniform Lengkap Kadet Polis

CONTOH SURAT RASMI LAWATAN SAMBIL BELAJAR

Gurindam Jagalah Mata