Bila Malam Menjelma.

Petang Khamis yang hening. Sebuah kereta muncul dan berhenti betul-betul diperkarangan rumah Haji Samad. Bunyi enjin semakin perlahan dan kemudiannya mati. Haji Samad yang sedang beristirehat di beranda rumah, menjenguk-jengukkan kepalanya. Kakinya yang kadang-kadang kebas itu menghalangnya daripada bangun dengan kadar yang segera. Terjeda seketika sebelum dia menarik tongkat kayu Ara Hitam yang berada di sebelah kaki kanannya. Haji Samad cuba untuk bangun sambil mulutnya riuh memanggil Seha, isteri barunya yang baru dikahwini tidak sampai seminggu yang lalu.

“ Seha, Seha. Cuba kau tengokkan. Kereta siapa yang parking depan rumah kita ni. Aku tak pernah tengok lagi seingat-ingat aku kereta ni, pernah datang ke tidak kat rumah kita sebelum ni.” Rungut Haji Samad sambil terbatuk-batuk kecil kerana menghembuskan asap tembakau yang dihisapnya dengan paip itu.

Iyalah, Abang Aji. Saya tengokkan. Aih, semacam muka Abang Aji saja budak laki yang turun dari kereta tu. Ha, perempuan pun ada. Bini si laki tu gamaknya.” Beritahu Seha kepada Haji Samad yang berkerut-kerut dahi. “ Agaknya Si Rahman dengan Julia yang datang tu. Dah muka macam aku, anak aku la tu, dengan menantu aku, uhuk, uhuk!”, batuknya keras. Sambil menaikkan cermin mata berkaca tebal yang melurut turun sedari tadi, Haji Samad bergerak ke depan mengekori langkah isteri barunya itu.

“ Assalamualaikum, ayah!”, sapa Rahman kepada ayahnya begitu juga Julia. Sampai sahaja ditangga, mereka terus menyalami Haji Samad tetapi agak teragak-agak untuk menyalami Seha kerana masih tidak berkenal-kenalan lagi. Julia yang mula-mula bergerak ke depan untuk bersalam-salaman dengan Seha. Rahman, seketika mengangkat beg-beg mereka dan meletakkannya ke tepi, sekadar untuk menutup kegugupan yang melanda dirinya ketika itu. Haji Samad berdeham-deham.

“ Wa’alaikumussalam. Hem, Rahman,Julia. Naiklah. Ni Makcik Seha kamu. Salamlah. Baru nampak batang hidung kamu semua. Aku kahwin pun kamu tak datang, mananya nak kenal dengan makcik kamu ni. Aku ni macam tak ada anak ja masa majlis tu. Huh! Agaknya kalau aku mati masa tu, berulat dulu baru sampai kamu ya! ”. Memuncung si bapa kecewa dengan sikap anak menantu yang tidak mengambil berat hal ehwal kehidupannya. Haji Samad terus mengangkat kaki untuk masuk ke dalam sambil mendengus-dengus tidak puas hati.

“ Kami betul-betul minta maaf, yah! Minta ampun sangat-sangat sebab dah terlalu lama tidak jenguk ayah dan tak datang majlis ayah dulu. Saya boleh jelaskan, yah! Tolonglah maafkan kami”, rayu Julia. Sambil mengesat-ngesat air mata yang bergenang, dia memaut lengan Rahman yang tunduk memandang ke lantai. Haji Samad yang baru sahaja mengorak beberapa langkah terhenti seketika.

Sejenak dipandangnya ke arah anak menantunya itu. Baru Haji Samad perasan, kedua-dua anak menantunya sudah jauh berbeza berbanding dahulu. Rahman kelihatan kusut masai rambutnya dan misai serta janggutnya terbiar meliar tumbuh di mukanya. Begitu juga Julia yang seperti mayat hidup. Kurus kering dan pusat lesi mukanya.

“ Sudahlah. Masuk ke dalam. Berehat dulu. Aku nak ke bilik air. Sekejab lagi dah nak masuk magrib. Kamu, Seha. Siapkan bilik untuk mereka ni. Lepas tu kita berjemaah.”, kendur sedikit suara Haji Samad. Hatinya tiba-tiba sejuk namun, sedetik firasatnya menduga sesuatu yang buruk telah berlaku.

................................................................................................................................................

“ Kau beli kereta baru, ya Rahman? Lain dari yang dulu. Ke mana kau campak yang dulu?”, tanya Haji Samad kepada Rahman yang baru sahaja duduk bertentangan dengan ayahnya di kerusi rotan. Berbual-bual ringan selepas selesai solat magrib dan makan sementara menanti waktu Isyak tiba. Rahman pada masa itu terleka seketika melihatkan gelagat Julia yang membantu Makcik Seha menghidangkan minuman panas di meja. Rahman kemudiannya kembali memandang ayahnya.

“ Ya, yah. Saya beli seminggu sebelum berura-ura nak balik ke kampung, masa majlis ayah tu. Ikut hati nak melaram hari tu, tapi...”, tiba-tiba Rahman tunduk ke lantai. Tidak mampu untuk dia bersuara seketika. Reaksinya sedikit muram dan keliru. Dahinya tiba-tiba berpeluh. Haji Samad berdeham-deham seketika. Memberi peluang untuk anaknya bertenang.

Kamu ni ayah tengok macam ada masalah besar saja. Hairan juga ayah. Iyalah, kamu dah cakap nak balik kampung seminggu sebelum majlis tu, tiba-tiba cakap ada hal dan ayah telefon pun nak tak nak saja bercakap dengan ayah ni. Manalah tahu kamu terkilan sebab ayah nikah dengan Makcik Seha ni, bekas kekasih arwah abang kamu dulu. Iyalah, bakal menantu jadi bini ayah pulak.” Dengan lembut dan penuh berdiplomasi Haji Samad bertanya kepada Rahman.

Julia duduk bersebelahan dengan Rahman. Setentang dengan Seha yang berada di sisi Haji Samad. Rahman mengangkat cawan yang terisi dengan kopi panas lalu menghirupnya dua tiga kali sebelum meletakkannya kembali ke meja. Begitu juga Seha, Haji Samad dan Julia turut sama menikmati juadah kuih yang disediakan tadi.

Rahman dan Julia berpandangan seketika. Mereka mengeluh berat dan masing-masing kelihatan keberatan untuk bercerita. Haji Samad dan Seha terus menanti dengan sabar cerita daripada anak menantu mereka itu.

“ Bukan macam tu, yah, makcik. Julia dan Abang Rahman tidak berniat nak bertindak begitu sebenarnya. Kami macam bingung masa tu, yah!” Julia bersuara sambil mengeluh.

“ Habis tu, apa yang berlaku sebenarnya pada kamu berdua ni? Rahman? Julia? Makcik bukan apa. Lepas ayah kamu berterus terang seminggu sebelum kami nikah yang makcik akan kawin dengan ayah kamu ni, kamu semua diam saja. Makcik pun tertanya-tanya, terduga-duga juga. Manalah tahu kamu tidak setuju, Rahman”, tanya Seha yang kehairanan.

“ Begini cerita sebenarnya, yah, makcik!”

................................................................................................................................................

“ Abang, mesti ayah gembirakan. Iyalah, nak kahwin baru ni. Lagilah ayah gembira kita bawa balik kereta baru ni. Bolehlah kita bawa ayah dan isteri barunya jalan-jalan dengan kereta ni, kan?” ujar Julia dengan girang sambil menyentuh-nyentuh kusyen lembut pada kerusi di hadapan kereta jenis Honda terbaru keluaran syarikat suaminya, Rahman.

“ Yalah, sayang. Lagi seminggu majlis tu. Abang tak kisah ayah kahwin dengan bekas tunang arwah Rahim tu. Kami sekeluarga memang rapat dengan keluarga Seha sebelum abang Rahim terkorban dalam nahas pesawat dulu. Dah jodoh mereka.” balas Rahman sambil memandu dengan tenang kereta barunya keluar daripada tempat parking untuk pulang ke rumah mereka di Taman Seri Indah, Segamat.

Mereka, suami isteri belum dikurniakan anak walaupun dah 5 tahun berkahwin. Namun, Rahman tetap setia pada Julia, isteri yang juga kekasihnya sejak mereka sama-sama belajar di universiti Malaya lagi. Malam itu, sempena Rahman dinaikkan pangkat sebagai pegawai pemasaran di syarikat kereta itu dan bersempena juga pembelian kereta baru tersebut mereka telah keluar makan malam di sebuah hotel terkemuka.

Perjalanan pulang pada malam tersebut dirasakan berlainan sekali berbanding hari-hari sebelumnya kerana keadaan yang lebih kondusif serta nyaman di dalam kereta baru tersebut. Sepanjang perjalanan, suami isteri itu bergurau senda dengan penuh keriangan. Tiba di selekoh tajam di Jalan Hang Tuah menuju ke Jalan Seri Indah, tiba-tiba Rahman dan Julia semacam terperasan satu lintasan cahaya di hadapan kereta mereka.

“ Ya allah, abang, apa tu??? Aaarrrghh.!!!”, jerit Julia ketakutan. Serentak dengan itu, Rahman menekan brek kecemasan dan bunyi bising terhasil ekoran geseran tayar yang kuat pada permukaan jalan raya. Seketika semacam tayar kereta terpijak sesuatu. Menggigil-gigil tubuh badan Rahman.

“ Kita langgar orang ke, Ju??,” kebingungan Rahman seketika. Julia mengeleng-ngelengkan kepala kerana dia juga tidak terperasan yang adanya lain-lain objek seperti manusia ke apa-apa yang telah dilanggar tadi. Mereka bergegas-gegas keluar dan melihat tiada sebarang kesan pada kereta mereka malahan tiada sebarang objek pun yang telah dilanggar mereka. “ Syukurlah, tiada apa-apa yang berlaku. Tapi abang pelik la. Cahaya apa yang melintas tadi? Terkejut abang.” Menggaru-garu kepala Rahman memikirkannya. Julia sekadar mengangkat bahu dan masuk kembali ke dalam kereta. Mereka meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Taman Seri Indah.

...................................................................................................................................

“ Sayang, bunyi apa tu? Sayang tak tutup ke TV tadi. Abang dah mengantuk ni. Bising la. Menganggu, nak tidur pun tak senang.” Keluh Rahman yang keletihan. “ Kan, tadi Julia dah tutup,bang. Abang pergi tengok sendirilah. Ju nak sambung tidur.” Julia terkulai layu kepenatan. Dengan bersusah payah Rahman bangkit dari katil dan keluar ke ruang tamu untuk memantau keadaan. ‛ Eh, tak ada pula bunyi tadi. Tadi macam sebelah bilik ni saja. Ah, jiran sebelah kot .’ Getus hati Rahman. Dia kemudiannya, kembali ke katil dan berbaring di sisi Julia untuk menyambung tidur.

. Namun, bunyi tadi tiba-tiba kembali kedengaran. Bertambah kuatnya. Oleh kerana, kepenatan sejak siang hari lagi mereka berdua tidur lena sehingga ke pagi esok. Esoknya, seperti biasa Julia dan Rahman keluar untuk ke pejabat masing-masing dan pulang setelah tamat waktu pejabat.

Setelah seharian bekerja, mereka beristirehat di rumah dan bersedia untuk meneruskan pekerjaan pada keesokkan harinya. Sedang elok mereka berbaring, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman di atas bumbung rumah mereka. Kuat sekali. Masing-masing terkejut lalu keluar dari rumah dan meninjau keadaan sekitar sambil merungut-rungut kejadian tersebut. Gelagat mereka menarik perhatian jiran mereka. Rahman turut bertanyakan kepada jiran-jiran samada mereka turut sama mendengar dentuman tadi. Namun, tiada seorang pun jiran yang mendengarnya. Lalu mereka masuk ke dalam rumah semula.

“Ish, abang rasa pelik la, Ju. Dah dua malam kita asyik bunyi macam-macam ni. Abang tak sedap hati la, Ju.” luah Rahman kepada Julia. Julia hanya menyabarkan suaminya. Bunyi-bunyi yang pelik tersebut tidak kedengaran lagi. Mereka terus ke bilik untuk menyambung agenda tidur yang tergendala itu. Belum sempat melelapkan mata, kedengaran semula bunyi-bunyian. Kali ini bunyi hon kereta bertalu-talu sehinggakan memekakkan telinga mereka dan tidak boleh untuk tidur lagi.

................................................................................................................................................

“ Begitulah keadaannya. Ayah, makcik. Kami dah tak tahan. Bila saja malam, macam-macam bunyi ada. Hon kereta, orang menangis, pintu diketuk-ketuk, pinggan-pinggan pecah, bumbung di baling barang dan macam-macam lagi, yah. Sampai kami tak dapat nak tidur langsung.” adu Julia kepada mentuanya.

Kalau dapat tidur pun, asyik mimpi ngeri saja. Menakutkan. Kami dikejar sekumpulan manusia la, dipukul. Mahu dibunuh. Macam-macam, yah, makcik”, tambah Rahman. “ Sebab tu lah, kami tak daya nak balik kampung masa majlis ayah tempoh hari. Penat, lesu, letih dan bingung.”

“ Ayah pun rasa pelik juga ni. Tak pernah pula ayah ada pengalaman sebegini. Hemmm. Rasanya, elok kita ke rumah Imam Ghafar. Boleh dia tolong-tolong sedikit- sebanyak selesaikan masalah kamu berdua ni. Moh, kita ke sana, rumah pak imam.” ujar Haji Samad.

..............................................................................................................................................

Sampai sahaja di sebuah rumah kampung yang terletak hanya berselang tiga buah rumah dari rumah Haji Samad, Haji Samad terus memberikan salam. Sekadar memberi salam untuk memanggil tuan rumah, bukan untuk mengejutkan jiran tetangga yang kemungkinan sudah beradu di kamar tidur. Di belakangnya, Seha dan Julia yang lengkap berbaju kurung serta bertudung. Juga Rahman yang berpakaian baju melayu yang melilau-liaukan pandangan ke pintu depan rumah dan juga tingkap-tingkap yang terukir dengan cantik. Walaupun hanya diterangi lampu kalimantang yang telah malap namun, keadaan rumah tersebut bersih dan kemas sahaja dari halamannya.

“ Wa’alaikummussalam. Owh, Aji. Eh, ramainya. Naiklah, Seha, Rahman dan isteri.” Pelawa Imam Ghafar dengan ramah. Mempersilakan tetamu yang datang ke ruang tamu. “ Jah, ni ha, Aji sekeluarga datang. Tolong buatkan air lah ya!”. pinta imam tersebut kepada Makcik Tijah, isterinya menyediakan air minuman kepada Haji Samad sekeluarga. Haji Samad membuka kopiah putih yang dipakainya sambil mengipas-ngipas ke badannya. Agak berpeluh juga dia apabila berjalan kaki walaupun hanya sekangkang kera dari rumah sendiri. Sementara Rahman, Seha dan Julia hanya membatu di kerusi rotan setelah dipelawa duduk oleh Imam Ghafar.

Bersambung....

Firman Allah SWT:

“ Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman kepada-Nya dan ( sebaliknya ) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim ( disebabkan keingkaran mereka ) melainkan kerugian jua.” ( Surah Al- Isra’ : 82 ).

Comments

Popular posts from this blog

Contoh kertas kerja Mohon Pembelian Uniform Lengkap Kadet Polis

CONTOH SURAT RASMI LAWATAN SAMBIL BELAJAR

Gurindam Jagalah Mata