Masih Ada Yang Sayang Padamu.

MASIH ADA YANG SAYANG PADAMU ( KREATIVITI DAN INOVASI )

            Pagi yang suram menyelubungi suasana di rumah Mak Jemah. Kelihatan Aidid termenung di penjuru ruang tamu. Matanya menjurus ke langit. Namun tiada siapa yang tahu ke manakah fikirannya melayang. Pilu hati Mak Jemah melihat keadaan anak lelaki tunggalnya itu. Bertimpa-timpa masalah menimpa. Mak jemah menapak ke arah Aidid.
            “ Sudahlah tu Aidid. Tak guna difikirkan lagi perkara yang dah berlalu. Kau di sini, anak kau di sana . Sudah-sudahlah tu termenung. Baik kau fikirkan cara bagaimana nak selesaikan perkara ni. Mak bukan pandai sangat. Harapkan bolehlah tengok-tengokkan anak kau tu.” Ujar Mak Jemah.
            Aidil mengeluh. “ Saya bukan apa mak. Sakit hati ni bila diingatkan balik peristiwa tu. Manusia ke binatang yang sanggup buat anak orang lain macam tu. Binatang pun tahu sayang anak mak,” ketap bibir Aidid menahan marah.
            “ Kita serahkanlah pada pihak polis. Kalau ikutkan hati marah tak ke mana pun hal ni,nak.” Mak Jemah mencelah.  “ Ikutkan hati saya , saya bunuh je perempuan  tak guna tu, mak,” rengus Aidid.
            Terngiang –ngiang di telinga Aidid tangisan anaknya, Sofia  yang dalam kesakitan, tiada henti di Hospital Ampang . Wad Kanak-kanak Melur menjadi saksi satu lagi kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak terjadi. Sofia didera oleh pengasuh dan kejadian ini disedari setelah anaknya mulai demam panas serta tidak sedarkan diri pada malam hari.
            Ngeri, sadis dan tidak berperikemanusian. Itulah yang bermain difikiran Aidid setelah melihat rakaman kamera yang dimainkan semula oleh jirannya, Pak Dollah. Pak Dollah merupakan tukang kebun Rumah Asuhan Taman Melati. Jasa Pak Dollah tak dapat Aidid lupakan kerana tindakan Pak Dollah yang merakam secara tersembunyi perkara tersebut dapat menyelamatkan nyawa Sofia dan anak-anak lain.
            “ Pak Dollah tak sangka macam tu sekali perbuatan budak tu. Dilambungnya anak kau, ditampar-tampar. Tak kesian ke tengok budak tu menangis, menjerit sakit. Pak Dollah tak tahan, Pak Dollah rakam dengan telefon buruk ni.”Bersungguh-sungguh Pak Dollah bercerita sambil merewang-rewang tangannya meniru aksi pengasuh itu.
            Mak Jemah sudah siap mengemaskan beg pakaian Aidid. Dia berjalan ke ruang tamu untuk membawa beg tu kepada Aidid. Aidid masih lagi termenung sambil mengetap-ngetap bibirnya.  “ Sudahlah Aidid. Mak dah siapkan beg ni. Mohlah kita ke hospital.Lara hati mak ni nak tinggal lama-lama Sofia kat hospital tu, mohlah.” Mak Jemah mematikan lamunan Aidid.
            Aidid menoleh dan bangun menyambut beg tersebut. Lalu mereka beredar ke kereta untuk meneruskan perjalanan ke Hospital Ampang.
……………………………………………………………………………………………………
            “ Kesian kamu cu, habis membirat kulit cucu nenek ni. Sudahlah ibumu dah tiada kat dunia ni, ada juga manusia yang buat kamu begini,” menjejer bibir Mak Jemah menahan suaranya yang sebak itu. Mak Jemah mengelap-ngelap tubuh cucunya dengan kain basah. Kelihatan Sofia menggeliat kecil tanda dia sudah boleh bergerak.
“ Selamat pagi Encik Aidid. Kami dari IPK Kuala Lumpur Cawangan Siasatan Jenayah. Kami nak memaklumkan suspek sudah berjaya ditangkap. Kami berharap encik dapat menghadirkan diri ke mahkamah nanti untuk memberi keterangan saksi.” Ujar salah seorang polis yang datang ke Wad Kanak-Kanak Melur. Buat seketika, pandangan Aidid tertumpu kepada penerangan yang diberikan oleh polis tersebut.
            Setelah beredarnya para polis itu, Mak Jemah mendekati Aidid.  “ Mak fikir, biarlah mak yang jaga Sofia lepas ni. Biar mak jaga kat kampunglah. Mak pun sorang-sorang je kat sana. Biarlah Sofia menjadi peneman mak. Kau pun tak adalah runsing sangat.”
            Aidid memandang Mak Jemah dengan pandangan yang penuh kesayuan. “ Terima kasih, mak. Aidid tak tahu nak cakap apa lagi dah. Dulu mak jaga Aidid, alih-alih sekarang cucu pulak. Terima kasih ya , mak.” Mak Jemah tersenyum dan terus beredar ke katil Sofia.
Nukilan,
PUAN SITI MARIAM DOLLAH
KURSUS INTERVENSI BAHASA MELAYU PERALIHAN
PKG SENTUL, 11-15 NOV 2013.
( 12.00-12.30 PM. / 14 NOV 2013 )

p/s: cerpen ini adalah cerita rekaan semata-mata dan tidak melibatkan mana-mana individu sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

Comments

Popular posts from this blog

Contoh kertas kerja Mohon Pembelian Uniform Lengkap Kadet Polis

CONTOH SURAT RASMI LAWATAN SAMBIL BELAJAR

Gurindam Jagalah Mata